Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah berpotensi jadi pusat TVET maritim global, lahirkan tenaga kerja mahir untuk 40,000 peluang pekerjaan
BAGAN DATUK: Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah berpotensi menjadi pusat pendidikan tinggi terunggul, pengeluar tenaga kerja mahir, dan pemangkin pembangunan teknologi maritim bertaraf global.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata politeknik yang sebelum ini dikenali sebagai Politeknik Bagan Datuk itu dijangka muncul sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Maritim di Pantai Barat Malaysia.
“Harapan patik agar Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah menjadi pusat pembelajaran berteraskan inovasi dan kemahiran teknikal, melahirkan generasi pelaut, jurutera dan teknokrat maritim yang berdaya saing di peringkat global.
“Semoga setiap langkah di bawah naungan nama Tuanku membawa keberkatan serta kecemerlangan berterusan kepada negeri Perak dan negara Malaysia,” katanya pada Majlis Pemasyhuran politeknik berkenaa hari ini.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan permasyhuran itu, diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara berkata Malaysia sebagai sebuah negara maritim memiliki lebih 4,800 kilometer garis pantai, yang menjadi nadi kepada sektor perdagangan, keselamatan, pelancongan, perikanan dan pembangunan ekonomi.
“Malah, sungai Perak berperanan besar dalam sejarah perdagangan bijih timah dan pengangkutan domestik serta antarabangsa. Daerah Bagan Datuk, yang terletak di kawasan muara strategik, juga dilihat sebagai hab perikanan laut dalam selaras Pelan ‘Perak Sejahtera 2030’,” kata Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Sementara itu, Zambry berkata sektor maritim negara kini memasuki fasa kebangkitan baharu, merangkumi kejuruteraan kapal, teknologi marin, automasi perkapalan, logistik pelabuhan, penyelenggaraan dan kemampanan laut, yang menuntut kepakaran teknikal tinggi dan inovasi berterusan.
“Menurut laporan antarabangsa, sektor maritim global dijangka berkembang 4.7 peratus setahun, sementara lebih 80 peratus perdagangan dunia berlayar melalui lautan.
“Dalam lima tahun akan datang, lebih 40,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dijangka terhasil dalam bidang maritim dan logistik, membuka peluang luas untuk lepasan TVET Malaysia menyertai pasaran global,” katanya. – Bernama
Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah berpotensi jadi pusat TVET maritim global, lahirkan tenaga kerja mahir untuk 40,000 peluang pekerjaan. Tempatan, peluang pekerjaan maritim, pendidikan maritim, Politeknik Maritim Sultan Nazrin Shah, tenaga kerja mahir, TVET maritim The Sun Malaysia


0 comments